[VIDEO] ‘Sedekah’, ‘komisyen’ melunakkan rasuah, kata Anwar - leklu.my

[VIDEO] ‘Sedekah’, ‘komisyen’ melunakkan rasuah, kata Anwar - leklu.my

Perdana Menteri Anwar Ibrahim membidas pihak yang menggunakan istilah seperti ‘sedekah’ dan ‘komisyen’ untuk melunakkan rasuah.

Katanya, fahaman yang melunakkan rasuah dengan istilah seperti ‘sedekah’ dan ‘komisyen’ boleh menjejaskan negara dan masyarakat.

“Dulu ‘komisyen’ okay, rasuah tak okay. Sekarang ada pula ‘sedekah’ okay. Ini fahaman yang boleh merugikan negara dan masyarakat,” katanya ketika berucap di rumah terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Anwar menjelaskan sedekah yang dialu-alukan adalah pemberian yang diredai Tuhan untuk kepentingan dan faedah masyarakat.

“Sedekah untuk amal jariah okay, tapi ‘sedekah’ untuk dapat undi pilihan raya – rasuah.”

Sebelum ini, Presiden PAS, Hadi Awang, dikritik pelbagai pihak kerana mempertahankan pemberian wang selepas partinya didakwa menyogok pengundi beberapa hari sebelum PRU15.

Parti itu didakwa berbuat demikian dengan mengagihkan wang bantuan yang diberikan kerajaan Terengganu.

Menurut Hadi, “Ikut undang-undang pilihan raya, calon atau wakil calon tak boleh bagi. Jadi orang awam nak bagi sedekah terpulang pada dia lah.”

Setiausaha Agung Perikatan Nasional, Hamzah Zainudin, ketika mengulas kritikan terhadap Hadi berkata pemberian bergantung kepada ‘niat’ pemberi, kerana ada pengundi meminta wang untuk ‘baiki rumah’.

Kumpulan anti-rasuah, The Center to Combat Corruption and Cronyism, menolak hujah itu kerana seseorang tidak boleh tahu ‘niat sebenar’ di sebalik pemberian wang ketika kempen pilihan raya.

Bekas timbalan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Wan Ahmad Wan Omar, juga berkata “sama ada berniat baik atau tidak, apabila tiba tempoh berkempen, saya fikir niat itu sudah jelas.”

VIDEO berkaitan:

POLITIK ‘Sedekah’, ‘komisyen’ melunakkan rasuah, kata Anwar

Berkaitan

Terkini

Popular