[VIDEO] KJ, Noh Omar dipecat keahlian UMNO - leklu.my

[VIDEO] KJ, Noh Omar dipecat keahlian UMNO - leklu.my

Timbalan Ketua Bahagian Rembau, Khairy Jamaludin Abu Bakar dan Bekas Ketua Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar telah dibuang keahlian parti tersebut.

Keputusan tersebut dibuat selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang berlangsung di Menara Dato’ Onn.

Menurut Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, turut dipecat ialah lima orang ahli UMNO Bahagian Pasir Gudang, sembilan orang ahli UMNO Bahagian Putrajaya, dua orang ahli UMNO Bahagian Tanjung Karang dan 26 orang ahli UMNO dari negeri Pahang.

“Dalam pada itu, ahli UMNO yang digantung hak-haknya dalam parti selama enam tahun ialah Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Datuk Maulizan Bujang, Datuk Seri Mohd Salim Sharif dan Shahril Sufian Hamdan.

“Antara kesalahan mereka ialah menjadi calon bebas, calon parti selain Barisan Nasional dan terlibat membantu parti lawan ketika PRU15,” katanya melalui satu kenyataan sebentar tadi.

Sementara itu, ahli MKT UMNO yang juga Menteri Luar Negara, Datuk Seri Khaled Nordin menggantikan Datuk Hasni Mohammad sebagai Pengerusi UMNO Johor.

KENYATAAN MEDIA

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 27 Januari 2023 (Jumaat) yang dipengerusikan oleh YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO telah membuat beberapa ketetapan ini:-

1. Tarikh-tarikh untuk diadakan Persidangan Tahunan Cawangan dan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian untuk Tahun 2023 yang melibatkan pemilihan jawatan ialah seperti berikut:-

1.1. Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri Cawangan ialah pada 1 Februari (Rabu) hingga 26 Februari 2023 (Ahad) iaitu selama 26 hari.

1.2. Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian bersama Pemilihan EXCO Wanita, EXCO Pergerakan Pemuda dan EXCO Pergerakan Puteri UMNO Pusat akan diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac 2023 (Sabtu).

1.3. Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO akan diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac 2023 (Sabtu).

1.4. YBhg Tan Sri Shahrir Ab Samad telah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO 2023 (JPU 2023) dan Datuk Mustapha Yaakub dilantik sebagai Setiausaha JPU 2023.

1.5. Tarikh pendaftaran bagi calon-calon untuk pertandingan di Bahagian dan Pusat adalah bermula pada 13 Februari 2023 dan ditutup pada 26 Februari 2023 jam 5.00 petang.  Kenyataan terperinci mengenai hal ini akan dimaklumkan kemudian.

2. Ahli UMNO yang dipecat daripada Parti UMNO atas pelanggaran disiplin parti mengikut Perlembagaan UMNO kerana kesalahan sewaktu Pilihanraya Umum Ke-15 ialah Tan Sri Noh Omar dan Saudara Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

3. Ahli UMNO yang digantung hak-haknya dalam parti selama 6 tahun ialah YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein, Datuk Maulizan Bujang, Datuk Seri Mohd Salim Sharif dan Saudara Shahril Sufian Hamdan.

4. Selain itu yang turut dipecat ialah 5 orang ahli UMNO Bahagian Pasir Gudang, 9 orang ahli UMNO Bahagian Putrajaya, 2 orang ahli UMNO Bahagian Tanjung Karang dan 26 orang ahli UMNO dari negeri Pahang.  Antara kesalahan mereka ialah menjadi calon bebas, calon parti selain Barisan Nasional dan terlibat membantu parti lawan ketika PRU-15.

5. YB Dato Seri Mohamed Khaled Nordin diumumkan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor yang baharu.

DATUK SERI AHMAD MASLAN

SETIAUSAHA AGUNG UMNO

27 JANUARI 2023

POLITIK KJ, Noh Omar dipecat keahlian UMNO

Berkaitan

Terkini

Popular