Bagaimana takwa membuahkan integriti seorang Muslim - leklu.my

Bagaimana takwa membuahkan integriti seorang Muslim - leklu.my

Pernahkah suatu hari anda bayangkan kehidupan tanpa panduan?

Hidup hanya dengan naluri menurut keperluan fizikal semata; apabila lapar, makan, apabila letih, tidur. Seperti sebuah komputer tanpa perisian atau sebuah kereta tanpa enjin, kewujudannya menjadi tanpa tujuan dan fungsi yang jelas.

Seperti sebuah manual cara menjalani kehidupan, begitulah peranan syariah bagi seorang manusia. Kedatangan syariah dengan pembelaan terhadap kepentingan manusia adalah rahmat kepada sekalian alam.

Menurut syariah, kepentingan manusia menjadi keutamaannya. Lantas, objektif di sebalik penurunan hukum-hakamnya bertujuan menjaga kepentingan-kepentingan manusia yang utama iaitu agama, nyawa, akal, harta dan keturunannya.

VIDEO berkaitan

Inilah yang digagaskan dalam apa yang dinamakan sebagai maqasid al-syariah. Agama merupakan tonggak utama kepada kehidupan yang bermakna bagi manusia.

Justeru, penjagaan terhadap agama pada peringkat individu mahupun institusi dilihat sebagai sesuatu yang utama. Hakikatnya, ia dapat dilihat dalam pensyariatan hukum-hakam berkaitan ibadah fardu seperti solat dan puasa.

MENJANA TAKWA

Tujuan ibadah-ibadah khusus ialah menjana takwa dan memelihara diri daripada kemungkaran dan maksiat. Takwa yang menjadi ‘dinamo’ hubungan dengan Allah SWT merupakan elemen penting yang perlu ada, hidup subur dalam diri seorang mukmin.

Saidina Ali r.a. berkata: “Takwa ialah takut kepada Tuhan yang mulia, beramal dengan kitab yang diturunkan, reda dengan sedikit dan bersiap sedia untuk hari kesudahan.”

Takwa bukan sahaja penting sebagai penentu hubungan dengan Allah SWT, malah takwa juga berperanan membentuk gaya fikir dan tindak seseorang Muslim. Orang yang bertakwa akan bersungguh-sungguh melakukan perkara kewajipan dalam agama.

Mereka yang bertakwa juga akan bersungguh-sungguh menjaga hubungannya dengan manusia lain atas dasar tanggungjawab kepada Yang Maha Esa. Inilah yang akan menerbitkan sebuah nilai peribadi jati diri yang penting iaitu ikhlas.

Orang yang meletakkan tujuan amalan dan tindakannya kerana Allah Taala akan menjadikan kehidupannya lebih aman dan sejahtera, tenang dan tidak meminta-minta penghargaan manusia.

Jika kita ingat kembali, tujuan pensyariatan ibadah yang penting seperti solat dan puasa ialah untuk memupuk serta mengukuhkan takwa dalam diri seseorang mukmin. Lantaran kepentingan takwa itulah, ibadah-ibadah tersebut menjadi asas dan rukun kepada keislaman seseorang.

Ini bermakna, hasil dan impak ketaatan yang dilakukan akan berbalik kepada individu Muslim itu sendiri. Keselamatan di akhirat dan kebahagiaan di dunia ialah janji buat Muslim yang taat.

TAKWA SAHAJA TIDAK MENCUKUPI

Penelitian terhadap ayat-ayat al-Quran mendapati bahawa takwa ( التقوى ) dalam al-Quran sering digandingkan dengan al-birr ( البر ) iaitu kebaikan dan kebajikan. Gandingan ini menunjukkan bahawa intipati dan tuntutan takwa dan البر adalah seiring.

“Kebajikan itu bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah timur dan barat, melainkan kebajikan itu ialah (kebajikan) orang yang beriman kepada Allah, hari Akhir, malaikat-malaikat, kitab suci, dan nabi-nabi; memberikan harta yang dicintainya kepada kerabat, anak yatim, orang miskin, musafir, peminta-minta dan (memerdekakan) hamba sahaya; melaksanakan solat; menunaikan zakat; menepati janji apabila berjanji; sabar dalam kemelaratan, penderitaan dan pada masa peperangan. Mereka itulah orang-orang yang benar dan mereka itulah orang-orang yang bertakwa.” (Surah al-Baqarah (2): 177)

Dalam al-Quran, perkataan al-birr disebut sebanyak lapan kali, tujuh daripadanya digandingkan bersama perkataan al-taqwa. Contohnya, sebagaimana yang terdapat dalam ayat-ayat berikut: Surah al-Baqarah (2): 177 dan 189, Surah Ali Imraan (3): 92, Surah al-Maaidah (5): 2, Surah al-Mujaadalah (58): 9.

Ayat ini telah menghuraikan tentang isi kandungan al-birr ( البر )yang menyentuh tatacara hubungan manusia dengan Tuhannya dan tatacara hubungan manusia sesama manusia. Melalui ayat ini dapat difahami bahawa البر merangkumi kebaikan secara menyeluruh dan merangkumi keseluruhan aspek kehidupan manusia.

Penutup ayat ini mengaitkan antara البر dan التقوى apabila Allah SWT menyifatkan orang yang melakukan apa yang disarankan dalam ayat ini sebagai orang yang bertakwa. Ini menguatkan lagi bahawa makna dan tuntutan البر dan التقوى adalah seiring.

Justeru, takwa bukan hanya terbatas kepada aspek spiritual (hubungan hamba dengan Tuhannya) semata-mata, malah menjangkau kepada aspek fizikal yang boleh dilihat dan dirasai oleh manusia dan terzahir dalam interaksi sosial antara mereka.

PUNCA INTEGRITI

Mukmin yang bertakwa akan sentiasa menjaga adabnya dengan Allah Taala dan memelihara akhlaknya sesama manusia. Takwa melahirkan integriti dan ikhlas dalam bermuamalat. Integriti akan mengakarumbikan jati diri mukmin sebenar yang jujur dalam tindakan, berani kerana benar serta berprinsip dalam hidup.

Takwa akan terzahir pada tingkah laku dan kata-kata. Mukmin yang bertakwa akan berhati-hati dalam bicara dan kata-katanya. Integriti yang ada dalam diri akan menghalangnya daripada berkata dusta, apa lagi menyebarkan perkara-perkara dusta yang boleh mengelirukan orang lain. Maka, jati diri yang mendiam dalam diri akan menjadikannya ‘perisai’ daripada bertindak dengan tingkah laku yang menyalahi syariat mahupun susila masyarakat yang mulia.

Oleh: Dr Hamidah Mat
Penasihat Pertubuhan Ilmuwan dan Cendekiawan Muslim Malaysia (ILMAN), Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Open University Malaysia (OUM)

BACA juga

GAYA HIDUPAGAMABagaimana takwa membuahkan integriti seorang Muslim

Berkaitan

Terkini

Popular