Mi kolok penyatu hati - leklu.my

Mi kolok penyatu hati - leklu.my

KUCHING: Hampir menjadi rutin buat Julia Unsing untuk singgah bersarapan mi kolok di restoran kegemarannya Sainah Cafe di Stutong di sini, apabila tamat kerja syif malam jam 8 pagi.

Bekerja di kilang yang terletak lima kilometer dari restoran itu, Julia, 36, mengunjungi Sainah Cafe sekurang-kurangnya tiga kali seminggu sejak 2018, sama ada bersendirian atau bersama rakan sekerja.

“Saya menjadi pelanggan setia sejak pemilik kafe ini masih menyewa ruang di sebuah premis makanan bertentangan Pasar Komuniti Stutong,” katanya.

Sambil meneguk teh tarik ais – ‘teh tarik peng’ bagi komuniti tempatan – Julia berkata, adakala dia datang pada hujung minggu kerana kediamannya tidak jauh dari kafe itu, semata-mata mahu memenuhi seleranya.

Julia Unsing
Julia Unsing

“Jika datang sendirian, saya duduk semeja dengan siapa-siapa sahaja, tidak kira kaum dan agama,” ujar anak jati Lubok Antu itu.

Mi kolok – mi sanggul yang direbus dan ditus serta dihidangkan bersama sup jernih sebagai kuah dan sos kicap – dibawa masuk ke Sarawak oleh kaum Cina yang berhijrah ke negeri itu.

Pada asalnya hidangan ini tidak halal kerana menggunakan daging dan lemak khinzir, namun peredaran masa dan asimilasi kaum menyaksikan ramuan diubah suai agar dapat dinikmati segenap lapisan masyarakat daripada pelbagai agama.

Sedar pentingnya persefahaman antara kaum dan perpaduan sesebuah masyarakat majmuk, pemilik Sainah Cafe, Sainah Mahdi, 41 dan suami, Mohammad Ariffin Liew Abdullah, 47, seboleh-bolehnya mahu semua kaum menikmati makanan tradisi Sarawak termasuk yang asalnya tidak halal, tanpa menjejaskan rasa sebenar hidangan itu.

Menurut Sainah, idea itu tercetus apabila beliau berkahwin dengan suami yang berketurunan Cina.

“Sewaktu mula berkenalan (pada 2006), suami mengajak saya makan mi kolok yang merupakan makanan kegemarannya, tetapi dia tidak berani makan di depan saya kerana tidak halal. Dari situ tercetus idea menghasilkan mi kolok yang boleh kami nikmati bersama,” katanya.

Pasangan itu yang berkahwin pada 2008, membuka gerai makan menjual mi kolok dan laksa Sarawak pada 2017.

“Mi kolok kami menyamai rasa asli kerana daging ayam (menggantikan daging khinzir) kami masak dengan kaedah char siu (daging khinzir panggang), selepas diperap dengan madu dan beberapa lagi elemen manis serta rempah-ratus,” jelas Sainah, menambah mereka juga meletakkan cendawan cincang.

Lazimnya, mi kolok halal di tempat lain hanya dihidang bersama carikan isi ayam rebus tanpa cendawan.

Selain itu, Sainah Cafe juga menawarkan tiga jenis sos mi kolok yang masing-masing memberikan rasa manis (merah), masin (kicap) dan biasa (tanpa warna), membolehkan pelanggan memilih mengikut cita rasa masing-masing.

“Masyarakat Melayu lebih gemar sos manis, manakala pelanggan Cina suka sos biasa,” celah Mohammad Ariffin Liew.

Mee kolok and mee kampua di Sainah Cafe
Mee kolok and mee kampua di Sainah Cafe

Menurutnya, beliau mengambil masa dua tahun bagi mengolah resipi asal demi memastikan rasa hidangan itu seasli mungkin.

“Lebih banyak bahan perlu diguna untuk hasilkan menu ini berbanding resipi asli,” katanya.

Menurutnya. sekalipun hanya menjual dua jenis hidangan, gerai kecil mereka menerima sambutan amat menggalakkan.

“Tak kurang 200 mangkuk mi terjual setiap hari,” kata beliau.

Pada 2021, pasangan itu membuka restoran sendiri selain mempelbagaikan menu termasuk nasi goreng seafood, nasi goreng ayam dan kuetiau. Semuanya air tangan Mohammad Ariffin Liew yang memang minat memasak.

Beroperasi seawal jam 7 pagi hingga 2.30 petang setiap hari kecuali Ahad, kafe itu menjadi tumpuan pelanggan pelbagai bangsa dengan kebanyakannya memilih hidangan mi kolok, mi kampua, mi wantan dan laksa Sarawak.

Susulan sambutan menggalakkan, pasangan ini bercadang mengembangkan perniagaan mereka termasuk melanjutkan waktu operasi agar lebih ramai pelanggan dapat menikmati hidangan di restoran mereka.

Selain pekerja kilang, kafe itu menjadi tumpuan pelajar Sarawak Skills, antaranya ialah Mathius Hanson, 20.

Menurut anak kelahiran Serian itu, dia suka datang ke kafe berkenaan bukan sahaja kerana hidangan yang sedap dan harga berpatutan, tetapi suasana yang begitu harmoni.

Pelanggan yang hadir ke Sainah Cafe pada hujung minggu.
Pelanggan yang hadir ke Sainah Cafe pada hujung minggu.

“Boleh dikatakan tiga ke empat kali seminggu kami bersarapan di sini sebelum ke kelas,” katanya yang menggemari hidangan mi kampua manis.

Penulis mengambil peluang menikmati sepinggan mi kolok. Sepanjang berada di kafe itu, pelanggan pelbagai kaum kelihatan tidak kekok duduk semeja menjamu selera walaupun saling tidak mengenali, membuatkan penulis teringat kata-kata Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, Ketua Menteri Sarawak yang kelima.

“Ini Sarawak punya olang, bisi Melayu, bisi orang Cina, bisi orang Dayak, bisi orang Bidayuh, duduk sama, minum sama, makan sama, carik amoi pun sama,” kata Allahyarham yang bermaksud, “Rakyat Sarawak ini ada orang Melayu, Cina, Dayak, Bidayuh, boleh duduk bersama, minum bersama, makan bersama, cari gadis pun bersama.”

Keakraban dan persefahaman antara etnik di Sarawak bukan sesuatu yang dibuat-buat kerana hakikatnya bukan perkara luar biasa jika sesebuah keluarga mempunyai ahli yang menganut agama berbeza dan berkahwin dengan kaum lain, membuatkan negeri ini seringkali dijadikan rujukan negeri lain dalam memupuk perpaduan rakyat membentuk Malaysia Madani.

BERITASARAWAKMi kolok penyatu hati

Berkaitan

Terkini

Popular