Muhyiddin beri bayangan Tuan Ibrahim calon Menteri Besar Pahang - leklu.my

Muhyiddin beri bayangan Tuan Ibrahim calon Menteri Besar Pahang - leklu.my

JELEBU – “Kot-kot esok bangun pagi mana-mana yang berhormat masuk jemaah kita, Menteri Besar sudah ada Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man bakal Menteri Besar Pahang,” kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sesi dialog bersama NGO-NGO Melayu di sini hari ini.

Kata-kata Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang seolah-olah membayangkan berlakunya ‘lompat parti’ menimbulkan persoalan mengenai isu yang sedang hangat diperkatakan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai di Bentong.

Baru-baru ini tular dalam media sosial poster menyatakan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man bakal diisytiharkan sebagai Menteri Besar Pahang sekiranya PN menang dalam PRK DUN Pelangai.

Terdapat juga khabar angin menyatakan sekiranya PN menang di Pelangai terdapat empat wakil rakyat daripada BN akan memberi sokongan kepada kerajaan negeri yang diterajui PN tersebut.

Dalam pada itu ketika ditemui Muhyiddin yang menyatakan tidak mempunyai maklumat mengenai desas-desus itu berkata, PN bersikap terbuka sekiranya ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN yang ingin menyertai PN.

Katanya, beliau mengalu-alukan sesiapa sahaja sama ada rakyat atau wakil rakyat untuk menyokong PN yang sentiasa lurus dalam perjuangan.

“Pelangai penting dan kita sedang berusaha bersungguh-sungguh, harap pengundi memberi sokongan kepada calon kita cikgu Kasim mencapai kemenangan untuk kukuhkan kedudukan PN.

“Kita tahu bilangan belum mencukupi (membentuk kerajaan) tetapi bergantung keadaan dan masa, kalau ada keadaan tertentu yang berlaku yang membolehkan kita membentuk kerajaan saya harap kita boleh bentuk kerajaan,”ujarnya.

PILIHAN RAYAPILIHAN RAYA KECILMuhyiddin beri bayangan Tuan Ibrahim calon Menteri Besar Pahang

Berkaitan

Terkini

Popular