Tiada perjanjian beli 104 mesin ventilator, lepas tu mesin tak boleh berfungsi - leklu.my

Tiada perjanjian beli 104 mesin ventilator, lepas tu mesin tak boleh berfungsi - leklu.my

KUALA LUMPUR — Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan pembelian 104 unit ventilator yang gagal berfungsi dibuat sewaktu Datuk Seri Dr Adham Baba berkhidmat sebagai Menteri Kesihatan.

Perkara itu dinayatakan Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, pada sidang media di Dewan Rakyat hari ini.

“Memang semua sudah sedia maklum, ini (berlaku) di bawah, sewaktu menteri (kesihatan) Dr Adham Baba.

“Yang Berhormat (YB) KJ (Khairy Jamaluddin) pun sudah bagi kenyataan (menafikan perolehan peralatan ventilator) bukan dibuat ketika beliau menjawat jawatan berkenaan,” katanya.

Dr Adham dilantik menerajui Kementerian Kesihatan (KKM) di bawah Kabinet Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada 2020.

Pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kesembilan menyaksikan Dr Adham bertukar portfolio dengan Khairy yang ketika itu menerajui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Hasil prosiding PAC setebal 120 muka surat yang dimuatnaik menerusi laman web Parlimen pada Isnin lalu mendedahkan, sebanyak 104 unit ventilator tidak dapat digunakan selain tiada perjanjian bertulis dimeterai antara KKM dan syarikat pembekal, Pharmaniaga Logistics Sdn Bhd (PLSB).

Menurut PAC, ketiadaan perjanjian bertulis antara KKM dan PLSB menyebabkan tiada mana-mana pihak boleh dipertanggungjawabkan untuk diambil tindakan berhubung kegagalan 104 unit ventilator berfungsi.

Susulan pembentangan Laporan PAC berhubung Pengurusan Wabak COVID-19 : Vaksin Luput Tempoh Hayat, Peralatan Ventilator Tidak Dapat Digunakan dan Lebihan Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) di bawah KKM, Mas Ermieyati menegaskan pihaknya memberi masa dua bulan kepada kementerian itu untuk menjawab lima syor dikemukakan jawatankuasa terbabit.

Katanya, PAC akan mengutuskan surat kepada KKM bagi memaklumkan mengenai perkara itu.

“Selepas PAC mengadakan prosiding maklum balas, PAC akan membentangkan laporan tindakan susulan berhubung isu ini yang akan mengandungi maklum balas KKM terhadap syor PAC di Parlimen.

“Dalam setiap isu yang disiasat PAC, dua laporan akan dihasilkan iaitu yang pertama laporan PAC yang mana PAC akan memberi rumusan dan syor terhadap isu berkenaan.

“Selepas itu, PAC akan membentangkan laporan kedua iaitu berhubung maklum balas kementerian terhadap syor PAC. Kedua-dua laporan ini akan melalui lima mesyuarat sebelum ia dapat dihasilkan serta dibentangkan di Parlimen,” katanya.

BERITATiada perjanjian beli 104 mesin ventilator, lepas tu mesin tak boleh berfungsi

Berkaitan

Terkini

Popular