Kena sokong Anwar, dakwa dua wakil PN, diminta supaya berpaling tadah - leklu.my

Kena sokong Anwar, dakwa dua wakil PN, diminta supaya berpaling tadah - leklu.my

Dua ahli parlimen pembangkang hari ini mendakwa telah dihubungi pihak tertentu – yang tidak dapat disahkan kesahihan identitinya oleh Malaysiakini – meminta mereka berpaling tadah untuk menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Kubang Pasu, Ku Abd Rahman Ku Ismail dan Ahli Parlimen Besut, Che Mohamad Zulkifly Jusoh membuat dakwaan tersebut pada sidang media yang disertai pemimpin PN hari ini.

Ini susulan dakwaan Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan semalam bahawa ahli parlimen PN diberi tawaran menarik sebagai habuan berpaling tadah termasuklah pelawaan mengetuai syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Ku Abd Rahman berkata dirinya telah dihubungi seseorang menerusi pesanan aplikasi WhatsApp yang menawarkan untuk membuat projek pembinaan hotel di kawasannya.

“Saya dapat mesej daripada seseorang, rupanya dia sudah teliti latar belakang kita dan kaji kawasan saya.

“Dia cadang nak buka hotel butik di kawasan saya di belakang Darulaman Golf Club.

Email dari ‘Datuk Rizal Adham’

“Saya terus blok dia,” katanya tanpa menjelaskan mengenai habuan yang didakwa ditawarkan untuk menukar sokongan.

Ahli Parlimen Besut, Che Mohamad Zulkifly Jusoh (gambar, atas) pula mendakwa dia turut dihubungi seorang individu yang mendakwa memiliki gelaran Datuk.

Che Mohamad berkata dia mendapat satu e-mail bahawa individu berkenaan bercadang untuk membina hotel 40 bilik di Parlimen Besut.

“Saya baru terima satu e-mail (mengenai) cadangan pembangunan hotel 40 bilik dilengkapi kolam renang dan pasar raya runcit di Parlimen Besut,” katanya.

Selanjutnya, Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin mendakwa kaedah yang disebut dua ahli parlimen PN hari ini merupakan modus operandi yang digunakankan pihak – yang tidak dinamakanya – dalam usaha menarik ahli parlimen PN berpaling tadah.

“Bukan hanya dua orang ini (ahli parlimen Kubang Palsu dan Besut) saja. Saya kata ramai (lagi).

“Mula-mula dia kata nak jumpa. Ada sesetangah tu rasa macam ‘wah baguslah kalau nak bawa hotel di kawasan (parlimennya).

“(Kemudian) jumpa. Bila berjumpa bukan cerita pasal (rancangan bina) hotel.

“(Pihak yang temui wakil PN berkata) cukuplah Yang Berhormat, rakyat susah, bajet dah tak ada, rakyat nak gini-gini.

“(Dia minta) jadi sokonglah Anwar, sokonglah PMX,” dakwa Hamzah lagi.

Dalam perkembangan lain, Ketua Whip PN Takiyuddin Hassan (gambar, bawah) pada sidang akhbar sama turut menegaskan pihaknya tidak akan meneruskan rundingan dengan wakil kerajaan mengenai peruntukan sama rata wakil rakyat pembangkang.

Menurut Takiyuddin, ini selepas rundingan diketuai Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof meminta pembangkang menulis surat kepada kerajaan dengan menyatakan jaminan tertentu.

Bagaimanapun, ahli parlimen Kota Bharu itu tidak menjelaskan jaminan atau aku janji diminta oleh pemerintah.

“Dulu masa Ismail Sabri Yaakob (PM9), kerajaan yang tawar kepada pembangkang untuk menandatangani memorandum persefahaman (MoU)…

“Kali ini kenapa kita pula kena hantar surat dan memberi aku janji tertentu?

“Sebab itulah terhentinya, kita tak akan tulis apa-apa untuk dapatkan peruntukan ahli parlimen,” katanya pada sidang media yang sama.

Malaysiakini

POLITIKKena sokong Anwar, dakwa dua wakil PN, diminta supaya berpaling tadah

Berkaitan

Terkini

Popular