4 pertuduhan pecah amanah, Syed Saddiq bersalah - leklu.my

4 pertuduhan pecah amanah, Syed Saddiq bersalah - leklu.my

KUALA LUMPUR — Mahkamah Tinggi di sini, hari ini mendapati Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersalah atas empat tuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid membuat keputusan itu mendapati pendakwaan berjaya melepasi keraguan munasabah untuk semua pertuduhan.

Syed Saddiq, 31, didakwa bersubahat dengan bekas Penolong Bendahari Armada Rafiq Hakim Razali yang diamanahkan dengan dana Armada berjumlah RM1 juta melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini, pada 6 Mac 2020.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

@tazzstudio

YB Syed Saddiq didapati bersalah 4 pertuduhan #AMLA #Malaysia #Politic

♬ News – AShamaluevMusic

Bagi pertuduhan kedua, Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang itu.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini, antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang adalah hasil daripada aktiviti haram.

Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018, mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, yang berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kini sedang mendengar hujahan mitigasi pendakwaan dan pembelaan berhubung keputusan itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin bersama Mohd ‘Afif Ali, manakala peguam Gobind Singh Deo dan Haijan Omar mewakili Syed Saddiq.

BERITAJENAYAH / MAHKAMAH4 pertuduhan pecah amanah, Syed Saddiq bersalah

Berkaitan

Terkini

Popular