Kes bunuh Zayn Rayyan bukan ‘straight forward’ siasatan tertumpu dua fasa - leklu.my

Kes bunuh Zayn Rayyan bukan ‘straight forward’ siasatan tertumpu dua fasa - leklu.my

Siasatan polis dalam kes bunuh Zayn Rayyan Abdul Matiin menjurus dua fasa demi merungkai termasuk mengenal pasti siapa dalang di sebalik pembunuhan kanak-kanak autisme itu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata untuk fasa pertama ia membabitkan usaha mencari dan mengumpul keterangan fizikal di lokasi serta sekitar kawasan kejadian.

Bagi fasa kedua pula, katanya siasatan akan membabitkan pertanyaan dan pencarian dari rumah ke rumah di mana dalam kawasan ini ada lebih kurang 18 blok yang melibatkan lebih kurang 2,400 rumah.

“Kita sudah mulakan sejak semalam sehingga pagi tadi dalam tiga blok dan kita akan teruskan lagi pada malam ini dan hari seterusnya,” katanya ketika sidang media di lokasi kejadian hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata polis sudah menghantar beberapa barang kes yang diperoleh semasa bedah siasat Zayn Rayyan ke Jabatan Kimia Malaysia bagi mendapatkan maklumat forensik.

“Kita harap keputusan akan diperoleh dalam dua tiga hari ini yang mana boleh membantu pihak polis untuk mendapatkan butiran yang boleh menjurus ke arah mereka yang terbabit (suspek).

“Ini bagi mendapatkan cap jari, DNA (asid deoksiribonukleik) dan kita juga akan mulakan satu proses ‘mass DNA screening’ (saringan DNA beramai-ramai) yang boleh membantu polis dalam mengesan mereka yang terlibat,” katanya.

Ditanya mengenai suspek, Hussein mengakui maklumat terhad menyebabkan pihak polis memerlukan sedikit masa untuk merungkai siapa dalang di sebalik pembunuhan itu.

Beliau berkata, pembunuhan Zayn Rayyan bukan kes yang ‘straight forward’ menyebabkan pihak polis perlu mengumpul lebih banyak maklumat dan bukti.

“Pihak polis ketika ini mempunyai keterangan agak terhad untuk kita melakukan apa-apa tangkapan dalam masa terdekat ini.

“Bagaimanapun, kita boleh jamin pihak polis akan melakukan yang terbaik untuk mengesan mereka yang terlibat dan bawa mereka ke muka pengadilan,” katanya.

Hussein turut mengingatkan ibu bapa bahawa mereka mempunyai tanggung jawab berat menjaga anak masing-masing, justeru tidak mengabaikan dan meninggalkan mereka berseorangan atau meletakkan mereka dalam situasi tidak selamat.

“Netizen juga diingatkan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menggugat siasatan dan berkongsi perkara tidak dapat dipastikan kesahihannya.

“Ini termasuk perkara yang boleh menyinggung sensitiviti keluarga. Jangan mengeruhkan lagi keadaan, beri kepercayaan dan ruang kepada pihak polis untuk siasat sehingga tertangkapnya pihak yang terlibat,” katanya.

BERITAKes bunuh Zayn Rayyan bukan 'straight forward' siasatan tertumpu dua fasa

Berkaitan

Terkini

Popular