Kes bunuh Zayn Rayyan: Stor jadi tumpuan siasatan - leklu.my

Kes bunuh Zayn Rayyan: Stor jadi tumpuan siasatan - leklu.my

Stor yang dijadikan tempat simpanan motosikal menjadi tumpuan hari keempat operasi pencarian bahan bukti kes pembunuhan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiiin di Apartmen Idaman, Damansara Damai di sini, pada Ahad.

Tinjauan Sinar Harian mendapati Unit Anjing Pengesan (K9) dan Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan pemeriksaan lebih empat jam di stor yang terletak kira-kira 50 meter dari kediaman mangsa.

Pemilik stor berkenaan, Noraini Ahmad, 51, berkata, dia dan suami, Zamri Jaafar, 53, diminta untuk membuka stor tersebut sekitar jam 10 pagi, Ahad sebelum siasatan selesai kira-kira jam 2 petang.

Menurutnya, walaupun terkejut dengan arahan tersebut, pihaknya memberikan kerjasama bagi melancarkan operasi bagi merungkai kes pembunuhan tersebut.

“Saya hari-hari masuk dalam stor yang sentiasa berkunci kerana dijadikan tempat penyimpanan motosikal.

“Anjing (unit pengesan) dilihat masuk dalam itu. Saya simpan enam buah motosikal dalam stor tersebut, barang khemah serta kerusi,” katanya ketika ditemui media di pekarangan apartmen tersebut di sini pada Ahad.

Noraini berkata, dia turut diminta agar tidak mengubah apa-apa peralatan di stor berkenaan sehingga siasatan kes tersebut selesai.

Sementara itu, Zamri berkata, stor tersebut diperiksa susulan kedudukannya yang terletak berhampiran aliran anak sungai, lokasi mayat Zayn Rayyan ditemui.

“Polis siasat segala kemungkinan disebabkan stor ini juga boleh dijadikan laluan ke anak sungai tersebut,” katanya.

Setakat Ahad, dua anjing pengesan telah digunakan untuk meneruskan operasi pencarian bahan bukti berhampiran lokasi kejadian termasuk pemeriksaan di pekarangan blok di Apartmen Idaman.

Pada Rabu, mayat Zayn Rayyan ditemui dalam keadaan terbaring berdekatan anak sungai berhampiran kawasan Apartment Idaman, Damansara Damai dipercayai dibunuh.

Hasil bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh mendapati terdapat kecederaan pada bahagian tubuh badan mangsa dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

BERITAKes bunuh Zayn Rayyan: Stor jadi tumpuan siasatan

Berkaitan

Terkini

Popular