Bursa Malaysia meningkat 0.39 peratus pada sesi dagangan tengah hari - leklu.my

Bursa Malaysia meningkat 0.39 peratus pada sesi dagangan tengah hari - leklu.my

Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi ini pada paras yang lebih baik, disokong oleh sentimen pasaran yang menggalakkan selepas Rizab Persekutuan Amerika Syarikat mengambil keputusan untuk mengekalkan kadar faedah negara itu.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 5.78 mata kepada 1,453.82 berbanding 1,448.04 yang dicatatkan pada penutup semalam.

FBM KLCI meraih 0.84 mata pada sesi pembukaan di paras 1,448.88 dan kemudian berlegar antara 1,448.14 dan 1,456.26 sepanjang sesi.

Di pasaran yang lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi 469 berbalas 343, manakala 419 kaunter tidak berubah, 1,113 tidak diniagakan dan 37 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 2.57 bilion unit bernilai RM1.37 bilion.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd dalam satu nota penyelidikan hari ini, bursa saham tempatan dijangka melihat momentum positif selanjutnya selepas Rizab Persekutuan menyatakan kadar faedah AS telah sampai ke puncak dan membayangkan tiga penurunan kadar tahun depan.

“Selain itu, harga pengeluar AS tidak berubah pada bulan November di tengah-tengah barangan tenaga yang lebih murah, menunjukkan bahawa inflasi semakin berkurangan,” tambahnya.

Firma pembrokeran itu juga berkata memandangkan prestasi Wall Street yang mengukuh semalaman, minat belian dijangka melimpah ke arah saham tempatan yang membabitkan sektor teknologi.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut satu sen kepada RM9.06, Petronas Chemicals turun satu sen menjadi RM7.14 manakala Public Bank dan CIMB masing-masing menambah tiga sen kepada RM4.29 dan RM5.82.

Bagi saham aktif, Sapura Energy kekal pada harga lima sen, SMTRack menokok setengah sen kepada 4.5 sen, Minetech peroleh 2.5 sen kepada 9.5 sen dan Sarawak Consolidated serta Top Gloves menambah dua sen, masing-masing mencatatkan harga 82.5 sen dan 89.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 49.22 mata kepada 10,763.00, Indeks FBMT 100 menambah 49.30 mata menjadi 10,430.32 manakala Indeks FBM 70 melonjak 101.79 mata kepada 14,331.53.

Indeks FBM ACE mengukuh 1.03 mata kepada 5,151.84 dan Indeks FBM Emas Syariah meningkat 48.31 mata kepada 10,864.13.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian peroleh 0.67 mata kepada 171.41, Indeks Perkhidmatan Kewangan mengembang 52.97 mata kepada 16,427.22 dan Indeks Tenaga meningkat 15.18 mata kepada 804.51, manakala Indeks Perladangan susut 6.61 mata kepada 6,986.96.

BERITAEKONOMIBursa Malaysia meningkat 0.39 peratus pada sesi dagangan tengah hari

Berkaitan

Terkini

Popular